Keris Antik vs Keris Proses

Sejak kebelakangan ni, antara soalan yang popular yang selalu ditanya pada adalah bagaimana hendak kenal keris antik dan keris baru yang dituakan atau lebih dikenali dengan keris proses.


Soalan ni memang susah nak jawab tapi pendapat peribadi , perihal nak kenal keris tua dan juga keris proses ni adalah bukan perkara utama dalam pembelajaran keris.

Banyak lagi perkara lain yang perlu difahami, dan apabila perkara asas sudah kita fahami, dengan sendiri kita akan lebih mengenal keris-keris yang dituakan atau keris proses.


Perkara pokok dalam mengenal keris ini adalah bagaimana untuk kita mengenal sebilah keris yang baik. Keris yang baik ini termasuklah keris-keris buatan baru apatah lagi keris-keris yang lama/antik. Juga Keris-keris Semenanjung, Kepulauan Sumatera, Keris Jawa, Bugis, Bali dan sebagainya.


Keris yang baik ini secara umumnya (tidak bergantung pada daerah atau jenis) adalah keris yang ditempa dengan baik, baik juga jenis besinya, baik dari segi ricikan serta garapnya (finishing), baik bentuknya, baik dan seimbang luknya, halus dan teliti kerawangannya. Baik juga dari pembuatan sampir dan hulunya, baik dari segi pemilihan kayunya.

Cara untuk kita mengenal keris yang baik ini adalah dengan cara melihat. Melihat dari buku salah satunya tapi lebih bagus kalau dapat melihat secara langsung. Kenal dengan cara memegangnya, kita rasa keseimbangannya, ringannya dan jiwanya (feeling and soul). Belajar juga dengan cara berjumpa dgn tukang-tukang yang bagus. Melihat cara mereka membuat keris mahupun sarung atau hulu Kemudian belajar mengenal jenis keris. Kita mesti mengingat dan menghafal ciri2 keris mengikut daerah. Ciri-ciri ini terdapat pada bentuk bilah (profile and proportion). Terdapat pada bentuk ganja (cicak). Terdapat pada bentuk belalai gajah dan bunga kerawang. Terdapat pada bentuk tikel alis, lurahan, lengguk luk dan terdapat juga pada jenis besi. Ciri-cirinya yang lain terdapat juga pada sarung dan hulu. Bentuk sarung, tebal dan nipis, juga dari jenis kayu yang digunakan.


Apabila dua ilmu ini kita sudah kuasai iaitu ilmu mengenal keris yang baik dan ilmu mengenal ciri keris mengikut kedaerahan, maka proses seterusnya akan jadi lebih mudah.


Contohnya, sebilah keris murah (keris cenderahati/keris latihan/keris mampu milik) sentiasa akan jadi keris yang tidak berkualiti. Sekalipun keris jenis ini diproses (rendam asid, ditanam di dalam tanah atau dibiarkan dengan karat yang tebal), dengan berbekalkan 2 pengetahuan di atas, kita akan dapat tahu yang ianya adalah sebilah keris yang diproses sebab pada asasnya sebelum proses ianya bukanlah sebilah keris yang baik dan biasanya tidak memenuhi mana2 kriteria kedaerahan.

Samada keris yang dituakan atau yang sememangnya menjadi tua atas faktor waktu/masa, sebilah keris yang baik akan tetap baik, dan yang tidak baik akan tetap tidak baik.

Masalah timbul bila keris-keris baru yang baik, dituakan/proses atas sebab-sebab komersial. Hal seperti ini menjadi cabaran besar bukan sahaja kepada orang baru, malah kepada otai pengkerisan sendiri dan juga kolektor yang lain. Ianya masih keris yang baik, cuma harganya menjadi mahal, tidak sepadan dengan harga sebilah keris baru.


Justeru pilihlah jalan yang bersesuaian. Berhobi jangan sampai membebankan. Menuntut ilmu berkenaan keris bukanlah bermakna mesti kita memilki keris, ilmu itu tiada nilainya. Fahami maksud disebaliknya.

Ps : penulis asal ( abg zulkhairu – boleh search di fb )

SEJURUS 3 (Kunci Mati 21)- Dec 2020

SEJURUS ataupun singkatan dari Sesi Jurulatih Ulangkaji Silibus yang ketiga dalam Disember 2020 berlansung dengan jayanya pada 28/12/2020. SEJURUS 3 ini memusatkan latihan dan perbincangan sekitar pelajaran Kunci Mati 21 yang telah diperturunkan oleh Ayahanda Cikgu Amin Hamzah pada tahun 2009. Kira-kira 11 tahun yang lalu.

Tujuan SEJURUS adalah semata-mata mengulangkaji pelajaran yang pernah disampaikan oleh Ayahanda Cikgu Amin Hamzah tanpa dicampuri oleh sebarang langkah mahupun gerakan baru. Ini bagi mengekalkan keaslian pelajaran yang telah diberikan oleh Ayahanda Cikgu Amin Hamzah. Sungguhpun begitu, jurulatih tidak terhalang dari memikirkan dan mencuba kemahiran dan tidakan refleks lain yang difikirkan praktikal semasa latihan dijalankan.

Tujuan utama hanyalah mengekalkan keaslian pelajaran dari seorang guru. Namun tidak rigid dalam pengaplikasian mengikut kepelbagaian situasi yang tak dijangka.

Bermula seawal jam 9 malam, SEJURUS 3 yang dihadiri oleh Gurulatih Kanan Serantau Perak , Cikgu Fuad dan Pengerusi MGN , Cikgu Reza serta saudara Naim (pembantu jurulatih ) berjaya diselesaikan dengan sempurna hingga melewati jam 12 malam.

SWEET 20 – Slot 4 & 5

Hulu keris tapak kuda

Alhamdulillah, SWEET 20 untuk slot ke 4 & 5 telah berlansung dengan jayanya. SWEET 20 adalah satu inisiatif Majlis Gurulatih Negeri ( MGN ) bertujuan memperkasakan keilmuan dalam pengurusan kejurulatihan. Berlansung secara dalam talian, kursus ini telah berlansung hampir 9 bulan bermula dari tempoh PKPB diperkenalkan.

Slot gabungan ini dipermudahcara oleh Cikgu Redzuan selaku moderator. Manakala Pengerusi MGN , Cikgu Reza telah menyampaikan perihal berkenaan Pekeliling Ujian Bengkung serta slot Pemanasan Badan.

Bermula seawal jam 9 malam, SWEET 20 melabuhkan tirai hampir jam 10 malam dengan dihadiri oleh 10 orang jurulatih. Serantau Perak merakamkan ribuan terima kasih atas penyertaan dan kerjasama yang telah diberikan. Usaha ini adalah satu pendekatan bagi melestarikan pembudayaan ilmu yang telah diwariskan oleh Mahaguru Gayong, Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman kepada Apit Jinjang, Panglima Singa Malaya ADMAR terakhir iaitu Ayahanda Cikgu Amin Hamzah.

Ziarah Guru – Dec 13

Sesi ziarah pada 13 Disember 2020 yang diwakili oleh barisan Majlis Gurulatih Negeri ( Perak ), Cikgu Fuad & Cikgu Reza dan en Naim telah berlansung selama hampir 6 jam. Dalam sesi ziarah kali ini, Ayahanda Guru memberi titipan nasihat dan ilmu terutamanya berkenaan permainan senjata Keris ( Tapak 21 Keris )

Beliau menzahirkan keinginan agar anak-anak gayong supaya menambahkan ilmu dan mewarisi ilmu Gayong ini sebagai warisan orang Melayu.

https://www.youtube.com/watch?v=c_U0-ibu5v8

Seni Keris – Seni Menghunus Keris

Sambungan : Seni Keris – Seni Disebalik Gaya Memegang Keris

Cara mengeluarkan keris pendekar Melayu pula mempunyai sedikit perbezaan dengan cara gaya penjurit (pesilat) Jawa. Menurut O’ong Maryono (penulis Indonesia), selepas keris dikeluarkan senjata itu dibawa ke hadapan dan dikucup. Penjurit (pesilat) Jawa pula akan membawa mesej melalui pergerakan tadi iaitu “Ia milikku dan hakku”. Bagi pendekar semenanjung pula, keris yang telah dikeluarkan daripada sarung akan ditunjukkan ke hadapan sebagai menyatakan “Ini Keris. Keris digenggamanku”.


Seterusnya, setelah dikucup dengan mesej yang disampaikan, penjurit (pesilat) Jawa akan mendekatkan keris itu ke ulu hatinya. Perbuatan ini untuk mendapat resapan makhluk halus ke dalam tubuh ‘si pemakai’. Berbeza dengan pendekar Melayu, keris yang telah dikucup akan dibawa ke hadapan semula dengan lafaz hati “Semua ini milik Allah.”


Bagi pahlawan Jawa, keris ialah senjata terakhir sekiranya senjata-senjata lain seperti lembing dan parang tiada lagi dalam genggaman. Keris bagi pahlawan Kepulauan Indonesia ini dianggap suci dan keramat. Apabila dicabut, ia dianggap harapan terakhir ‘si pemakai’ dan rohaninya akan bercantum dengan dunia mistik (makhluk halus). Pastinya cara ini bertentangan dengan budaya, fikiran, dan pegangan bangsa Melayu yang berlandaskan ajaran-ajaran Islam.

Bersambung

Penulis asal : KhalifahGayong.com

Gambar : Keris Kedah oleh Einputra

Seni Keris – Seni Memegang Keris

Jika keris menjadi senjata pendekar Melayu, pastinya dipenuhi “isi permainan” dan penuh berahsia. Dalam dunia persilatan, seseorang yang tahu berseni akan tahu “bisa keris” di tangannya. Orang-orang dahulu (para pesilat lama) menyimpan keris kerana mereka tahu isi keris dan tidak menjualnya. Setiap keris lama ada cerita, rahsia dan adat tersendiri yang bukannya dibuat sesuka hati.

Oleh itu, permainan keris dalam silat perlu ditunjangi gerak seni yang diperkukuhkan dengan unsur-unsur keunikan, kehalusan, kekuatan, dan keberkesanan gerak permainannya. Gabungan ‘keharmonian’ minda pesilat, gerak rasa yang mendalam turut memainkan peranan yang penting agar permainan seni keris itu benar-benar ‘hidup’.

Gaya memegang keris perlu difahami terutama kepada para pesilat atau seseorang yang sedang mempelajari ‘ilmu berkeris’ agar tidak tersilap langkah yang boleh menyebabkan keris memakan tuannya kembali.

Mata keris sentiasa menghadap ke hadapan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap musuh setiap masa.

Genggaman keris yang betul akan mempermudahkan keris digunakan oleh pesilat untuk menikam mangsa.

Gerak-geri seni berkeris dapat dirasai apabila gerakan menghunus, menolak, dan menikam ditunjangi kekuatan dan ‘gerak rasa’ daripada belakang tangan. Ibu jari menjadi kunci utama pergerakan ‘menggelek keris’ (setelah keris ditusuk ke dalam badan). Manakala jari petunjuk memainkan fungsi utama mengeluarkan keris daripada sasaran.
Dalam ilmu persilatan, hal ini diistilahkan ‘gerak dengan petua, pegang berasa kerana langkah musuh pun berahsia. Begitulah kepentingan berilmu yang perlu dipelajari dan difahami oleh pengamalnya.

Apabila gerak sudah ada petua, petua pula bersama seni. Semasa menikam, musuh sukar untuk mengelakkan diri walau ke kanan, ke kiri, ke luar, dan ke dalam kerana setiap pergerakan lawan bakal menerima musibah dan tindak balas di luar jangkaannya. Bak kata-kata lama orang tua,

“hendak cuit telinga, bagaimana dicuba elak sekalipun, tetap dicuit atau tercuit”.

Dari sudut sifat orang Melayu melalui cara memegang keris, genggaman tangan dengan ibu jari ke hadapan dan empat jari yang lain digenggam ke dalam telapak tangan menunjukkan orang Melayu yang mempunyai sifat rendah diri, menghormati, dan beradab sopan. Namun, dalam kelembutan sifat orang Melayu itu tertera ketegasan, keberanian, dan kewaspadaan sepanjang masa.

Hal ini dibuktikan dengan senjata keris itu menjadi simbol sifat-sifat tadi. Jelaslah, bahawa cara genggaman keris merupakan simbol kepada sifat orang Melayu yang bersopan-santun dan berlemah-lembut. Manakala keris menjadi simbol pada keberanian, kehebatan, dan kekuatan bangsa Melayu.

Bersambung

Penulis asal : KhalifahGayong.com

Gambar : Keris Kedah oleh Einputra

Latihan Pemantapan Ilmu Silat Seni Gayong

Latihan pemantapan ilmu Silat Seni Gayong. Mantapkan yang asas. Semoga kita semua sentiasa istiqomah. Zattt! 😍😍😍

Tanah melayu tanah pusaka,

Megah berdiri di singgahsana,

Adat dijunjung nama dijaga,

Tidak melayu hilang di dunia.

Tegap tiang di singgahsana,

Tegap berdiri di laman cindai,

Budaya melayu tegap di dunia

Tiada gentar menempuh badai