Rencong adalah senjata pusaka yang bernilai digunakan oleh seluruh masyarakat Aceh untuk mempertahankan diri dan dibawa berperang menentang musuh-musuh agama Islam dan orang-orang yang anti Islam. Oleh itu pengertian yang tersirat pada sebilah rencong adalah dijelaskan seperti berikut:
- Hulu atau pemegang yang mencongek simbolik dari aksara huruf Arab Ba.
- Tempat genggaman di hulu rencong simbolik dari aksara huruf Arab Sin.
- Dari bahagian mar hingga ke bahagian pangkal mata rencong terdapat bahagian yang labuh ke bawah menampakkan aksara huruf Arab Mim.
- Dari pangkal mata hingga hampir ke hujung simbolik aksara huruf Arab Lam.
- Hujung mata rencong yang melengkong sedikit ke atas adalah simbolik aksara huruf Arab Ha.
Justeru. Jelas bahawa rencong adalah reaksi penzahiran dari kalimah BISMILLAH sebagai kalam pertama memulai sesuatu pekerjaan di kalangan orang-orang Islam.

Rencong ada beberapa jenis (perlu dimaklum bahawa perbezaan jenis rencong hanya pada hulunya sahaja mata dan sarungnya tidak berubah iaitu hulu dan sarungnya dibuat dari kayu atau tanduk) seperti berikut:
Rencong adalah reaksi penzahiran dari kalimah BISMILLAH
1. Rencong Mempucuk, iaitu hulunya disalut dengan emas Aceh (nilai emas 18 karat) atau suasa, dihiasi dengan ukiran yang disenangi oleh pemiliknya yang terdiri kebanyakannya dari golongan elite maupun hartawan.
2. Rencong Meucugek, iaitu bentuk asas hulu rencong yang biasa kita tengok, di mana hulu di bahagian belakangnya terdapat lebihan yang memanjang bulat kira-kira 8-10 cm, menjadikan hulu seperti huruf L atau sesiku. Fungsi utama adalah untuk pertempuran yang dapat menikam lawan secara bertubi-tubi dan dengan mudah pula dicabut kembali, di mana hulu tidak akan terlepas walupun dalam keadaan berlumuran darah kerana cugek adalah alat penahan pergelangan tangan.
3. Rencong Pudoi, iaitu bentuk hulunya yang telah diubah suai menjadi pendek kerana cugeknya telah dipotong agar tidak kelihatan apabila dipakai, kerana semasa pemerintahan Belanda telah dibuat peraturan tidak membenarkan orang Aceh memakai rencong apabila keluar berjalan, oleh itu dibuat rencong pudoi yang bermaksud rencong pendek.
Artikal yang saya paparkan kepada tuan-tuan adalah merujuk dari buku terbitan Muzium Daerah Istimewa Aceh, jika sekiranya tidak bertepatan dengan ilmu tuan-tuan sila abaikan dan jika memberi manfaat kepada tuan-tuan sila kongsikan.
sumber : Ahmad Zamli
