Jika keris menjadi senjata pendekar Melayu, pastinya dipenuhi “isi permainan” dan penuh berahsia. Dalam dunia persilatan, seseorang yang tahu berseni akan tahu “bisa keris” di tangannya. Orang-orang dahulu (para pesilat lama) menyimpan keris kerana mereka tahu isi keris dan tidak menjualnya. Setiap keris lama ada cerita, rahsia dan adat tersendiri yang bukannya dibuat sesuka hati.
Oleh itu, permainan keris dalam silat perlu ditunjangi gerak seni yang diperkukuhkan dengan unsur-unsur keunikan, kehalusan, kekuatan, dan keberkesanan gerak permainannya. Gabungan ‘keharmonian’ minda pesilat, gerak rasa yang mendalam turut memainkan peranan yang penting agar permainan seni keris itu benar-benar ‘hidup’.
Gaya memegang keris perlu difahami terutama kepada para pesilat atau seseorang yang sedang mempelajari ‘ilmu berkeris’ agar tidak tersilap langkah yang boleh menyebabkan keris memakan tuannya kembali.
Mata keris sentiasa menghadap ke hadapan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap musuh setiap masa.
Genggaman keris yang betul akan mempermudahkan keris digunakan oleh pesilat untuk menikam mangsa.
Gerak-geri seni berkeris dapat dirasai apabila gerakan menghunus, menolak, dan menikam ditunjangi kekuatan dan ‘gerak rasa’ daripada belakang tangan. Ibu jari menjadi kunci utama pergerakan ‘menggelek keris’ (setelah keris ditusuk ke dalam badan). Manakala jari petunjuk memainkan fungsi utama mengeluarkan keris daripada sasaran.
Dalam ilmu persilatan, hal ini diistilahkan ‘gerak dengan petua, pegang berasa kerana langkah musuh pun berahsia. Begitulah kepentingan berilmu yang perlu dipelajari dan difahami oleh pengamalnya.
Apabila gerak sudah ada petua, petua pula bersama seni. Semasa menikam, musuh sukar untuk mengelakkan diri walau ke kanan, ke kiri, ke luar, dan ke dalam kerana setiap pergerakan lawan bakal menerima musibah dan tindak balas di luar jangkaannya. Bak kata-kata lama orang tua,
“hendak cuit telinga, bagaimana dicuba elak sekalipun, tetap dicuit atau tercuit”.
Dari sudut sifat orang Melayu melalui cara memegang keris, genggaman tangan dengan ibu jari ke hadapan dan empat jari yang lain digenggam ke dalam telapak tangan menunjukkan orang Melayu yang mempunyai sifat rendah diri, menghormati, dan beradab sopan. Namun, dalam kelembutan sifat orang Melayu itu tertera ketegasan, keberanian, dan kewaspadaan sepanjang masa.
Hal ini dibuktikan dengan senjata keris itu menjadi simbol sifat-sifat tadi. Jelaslah, bahawa cara genggaman keris merupakan simbol kepada sifat orang Melayu yang bersopan-santun dan berlemah-lembut. Manakala keris menjadi simbol pada keberanian, kehebatan, dan kekuatan bangsa Melayu.
Bersambung
Penulis asal : KhalifahGayong.com
Gambar : Keris Kedah oleh Einputra

One Reply to “Seni Keris – Seni Memegang Keris”