Sejak kebelakangan ni, antara soalan yang popular yang selalu ditanya pada adalah bagaimana hendak kenal keris antik dan keris baru yang dituakan atau lebih dikenali dengan keris proses.
Soalan ni memang susah nak jawab tapi pendapat peribadi , perihal nak kenal keris tua dan juga keris proses ni adalah bukan perkara utama dalam pembelajaran keris.
Banyak lagi perkara lain yang perlu difahami, dan apabila perkara asas sudah kita fahami, dengan sendiri kita akan lebih mengenal keris-keris yang dituakan atau keris proses.
Perkara pokok dalam mengenal keris ini adalah bagaimana untuk kita mengenal sebilah keris yang baik. Keris yang baik ini termasuklah keris-keris buatan baru apatah lagi keris-keris yang lama/antik. Juga Keris-keris Semenanjung, Kepulauan Sumatera, Keris Jawa, Bugis, Bali dan sebagainya.
Keris yang baik ini secara umumnya (tidak bergantung pada daerah atau jenis) adalah keris yang ditempa dengan baik, baik juga jenis besinya, baik dari segi ricikan serta garapnya (finishing), baik bentuknya, baik dan seimbang luknya, halus dan teliti kerawangannya. Baik juga dari pembuatan sampir dan hulunya, baik dari segi pemilihan kayunya.
Cara untuk kita mengenal keris yang baik ini adalah dengan cara melihat. Melihat dari buku salah satunya tapi lebih bagus kalau dapat melihat secara langsung. Kenal dengan cara memegangnya, kita rasa keseimbangannya, ringannya dan jiwanya (feeling and soul). Belajar juga dengan cara berjumpa dgn tukang-tukang yang bagus. Melihat cara mereka membuat keris mahupun sarung atau hulu Kemudian belajar mengenal jenis keris. Kita mesti mengingat dan menghafal ciri2 keris mengikut daerah. Ciri-ciri ini terdapat pada bentuk bilah (profile and proportion). Terdapat pada bentuk ganja (cicak). Terdapat pada bentuk belalai gajah dan bunga kerawang. Terdapat pada bentuk tikel alis, lurahan, lengguk luk dan terdapat juga pada jenis besi. Ciri-cirinya yang lain terdapat juga pada sarung dan hulu. Bentuk sarung, tebal dan nipis, juga dari jenis kayu yang digunakan.
Apabila dua ilmu ini kita sudah kuasai iaitu ilmu mengenal keris yang baik dan ilmu mengenal ciri keris mengikut kedaerahan, maka proses seterusnya akan jadi lebih mudah.
Contohnya, sebilah keris murah (keris cenderahati/keris latihan/keris mampu milik) sentiasa akan jadi keris yang tidak berkualiti. Sekalipun keris jenis ini diproses (rendam asid, ditanam di dalam tanah atau dibiarkan dengan karat yang tebal), dengan berbekalkan 2 pengetahuan di atas, kita akan dapat tahu yang ianya adalah sebilah keris yang diproses sebab pada asasnya sebelum proses ianya bukanlah sebilah keris yang baik dan biasanya tidak memenuhi mana2 kriteria kedaerahan.
Samada keris yang dituakan atau yang sememangnya menjadi tua atas faktor waktu/masa, sebilah keris yang baik akan tetap baik, dan yang tidak baik akan tetap tidak baik.
Masalah timbul bila keris-keris baru yang baik, dituakan/proses atas sebab-sebab komersial. Hal seperti ini menjadi cabaran besar bukan sahaja kepada orang baru, malah kepada otai pengkerisan sendiri dan juga kolektor yang lain. Ianya masih keris yang baik, cuma harganya menjadi mahal, tidak sepadan dengan harga sebilah keris baru.
Justeru pilihlah jalan yang bersesuaian. Berhobi jangan sampai membebankan. Menuntut ilmu berkenaan keris bukanlah bermakna mesti kita memilki keris, ilmu itu tiada nilainya. Fahami maksud disebaliknya.
Ps : penulis asal ( abg zulkhairu – boleh search di fb )



