Tayangan Filem Gayong & Akademi ePanglima

Langkahan Kecil, Impak Besar: Tayangan Filem Gayong Menyemarak Semangat Pesilat Muda

Pada malam yang penuh semangat dan kebanggaan, tayangan Filem Gayong telah berlangsung dengan jayanya di TGV Aeon Station 18, Ipoh.

Program ini bukan sekadar acara hiburan biasa, tetapi satu inisiatif murni yang digerakkan oleh Akademi ePanglima bersama Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia Cawangan Negeri Perak, di bawah seliaan pengurus gelanggang, Mohd Naim Abdul Rahim.

Apa yang bermula sebagai perbincangan santai di meja sarapan, berubah menjadi sebuah realiti bermakna. Dengan niat asal untuk membawa kira-kira 60 pesilat muda menonton filem sebagai suntikan semangat, bajet awal hanyalah RM300 – sekadar mampu untuk menampung RM5 seorang.

Namun berkat semangat, perancangan rapi dan keikhlasan niat, sambutan luar jangka telah berlaku.Seramai 160 orang peserta hadir menyemarakkan tayangan ini — terdiri daripada anak-anak pesilat, ibu bapa, wakil NGO dan rakan-rakan silat.

Antara gelanggang yang turut serta ialah:

Akademi ePanglima

Gelanggang ACMA, Botani

Gelanggang Bota Kanan

Gelanggang KTMB

Turut hadir bersama ialah NGO SUWAKA yang sentiasa memberi sokongan kepada usaha membina jati diri anak muda melalui seni warisan.

Program ini turut mendapat suntikan sokongan daripada YB Howard Lee, menerusi Pusat Khidmat Parlimen Ipoh Timur. Bantuan dan sumbangan beliau amat bermakna dalam merealisasikan impian kecil ini menjadi acara penuh makna.

Tidak dilupakan juga pihak pengurusan TGV dan Aeon Station 18, yang memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk penyediaan ruang dan kemudahan.

Dua Matlamat, Satu Hala Tuju

Majlis tayangan ini diadakan dengan dua matlamat utama:

1. Menyemarakkan semangat anak-anak pesilat, agar terus mencintai seni silat dan bangga dengan warisan bangsa.

2. Menghargai peranan ibu bapa yang sentiasa menyokong dan menyumbang tenaga, masa dan semangat demi kelangsungan latihan anak-anak mereka di gelanggang.

Walaupun pada asalnya sekadar mahu menyuntik semangat kepada pesilat muda, namun impaknya jauh lebih besar — merapatkan hubungan antara gelanggang, mengukuhkan jaringan antara NGO dan pemimpin setempat, serta membuktikan bahawa satu langkahan kecil mampu membuka jalan kepada langkah-langkah yang lebih besar.

Semoga majlis seperti ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha dalam mengangkat seni silat dan memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan komuniti warisan.

Hulu Keris Jawa Demam : Adakah Benar Demam?

💥Hulu Keris : Sekadar Pemegang @ Simbol Pengharapan ?💥

Hulu Jawa Demam Antik


.
❗AWAS : CORETAN INI PANJANG & TAK SESUAI DIBACA KETIKA SIBUK❗
.
Apabila kita bicara tentang keris, kita akan selalu bercakap tentang bilah. Bilah itu. Dapur ini. Kehebatan besi. Kepandaian sang empu.
.
Tapi mungkin kita terlupa yang hulu bukan sekadar pemegang seperti pemegang pisau. Hulu yang beragam bentuk dan adakalanya ada ukiran cantik, tentu mempunyai sesuatu mesej yang mahu disampaikan oleh pembuatnya.
.
Seperti hulu Tajong. Yang mempunyai pelbagai mesej dan rahsia. Yang membawa simbol langkasuka. Kalau nak dibicarakan, pasti terlalu banyak.
.
Cuma dalam lontaran ini, saya mahu mengetengahkan perihal hulu Jawa Demam.
.
✅HULU JAWA DEMAM✅
Hulu yang tidak asing lagi. Bahkan pasti semua yang melihat keris, akan pernah melihat hulu Jawa Demam
.
Tapi benarkah hulu itu gambaran seorang yang sedang DEMAM?
.

Hulu Jawa Demam Bahan Gading Antik


APAKAH RASIONAL meletakkan ikon orang yg dalam kekurangan ( sejuk demam ) pada sebilah keris yang menjadi pakaian kebanggaan?
.
Ada pelbagai versi cerita tentang asal usul hulu Jawa Demam ini. Ada cerita ttg ilham oleh seorang tukang yang diarahkan rajanya yang demam. Ada cerita pula tentang hulu dibuat sedemikian sebagai perang psikologi menakutkan pihak lawan. Ada lagi macam2 cerita. Yang pasti tiada satu pun yang boleh mendakwa kebenarannya.
.
Dalam buku Keris Minangkabau, ada dinyatakan hulu ini ialah hulu jawa demam atau anak ayam. Asalnya dari Palembang. Manakala dakwaan lain pula hulu ini seperti manusia berkepala burung. Atau Garuda ( the power of kris hilt : Pak Hengki )


.
Dalam buku Senjata Pusaka Bugis, hulu ini dinamakan hulu sikori. Asalnya adalah hadiah atas kemenangan La Tenri Aru Palaka ketika peperangan di Sumatra. Beliau dihadiahkan kerajaan Palembang pada masa itu atas bantuan ketenteraan. Semak silang, kisah yang sama juga diceritakan dalam buku Keris Minangkabau.
.
Dalam buku Keris Jawa, tiada info berkenaan hulu ini. Melainkan buku Ensiklopedi Keris. Begitu juga buku Keris Bali Bersejarah. Tetapi dari Buku Keris Melayu, hulu ini dibezakan antara hulu jawa demam, hulu anak ayam dan hulu pekaka. Dari segi ciri dan karakternya, lebih kurang sahaja. Seperti sosok tubuh yang sedang duduk memeluk tubuh dengan kepala yang sedikit menunduk.


.
✅BETUL KE DEMAM?✅
.
Iya..kelihatan seolah sedang sejuk memeluk tubuh. Adapun buku Keris Melayu Semenanjung menggambarkan hulu ini adalah simbol ketaatan dan kepatuhan dari duduknya memeluk sesuatu seperti kitab.
.
Jadi apa sebenarnya hulu ini? Dari mana asalnya datang dan kenapa dinamakan jawa demam?. Semuanya seperti terungkap diatas namun tiada penjelasan tuntas.
.
✅PENGARUH AGAMA?✅
Di sumatera, kerajaan paling awal diasaskan sekitar abad ke 7 ialah kerajaan Srivijaya yang dipengaruhi agama hindu- buddha . Pada zaman ini, hulu2 keris didakwa lebih ringkas . Namun ada ragam dan kreasi yang dihasilkan. Dalam buku keris Minangkabau, ditunjukkan turunan atau variasi hulu2 keris era srivijaya. Mungkin pada masa ini belum ada hulu jawa demam. Anutan fahaman srivijaya pada masa itu memiliki ritual menghormati ular dan naga . Sedangkan burung adalah musuh kepada ular. Jadi, mungkin berlaku transisi kepercayaan dan dinasti pemerintahan pada masa itu. Seiring dengan kejatuhan era srivijaya.
.
Seperti di Jawa, kewujudan kerajaan Singasari , kartanegara dan majapahit sedikit sebanyak mempunyai kaitan. Ekspedisi pamalayu ke sumatera pada abad ke 13 adalah ketika era singasari . Pasti mempunyai titik silang budaya dan anutan pada masa itu.
.
✅MITOS GARUDEYA✅
Ada satu kisah2 jawa kuno yang menceritakan perihal burung Garuda.
.
Ya.. burung garuda atau Garudeya. Mitos ini menceritakan tentang Garudeya yang bertubuh manusia tetapi berkepala burung yang mempunyai konflik dimana Garudeya berjuang membebaskan ibunya dari diperhambakan oleh lawannya. Garudeya yang akhirnya bertarung dengan Dewa Vishnu untuk mendapatkan air suci bagi membebaskan penghambaan ibunya. Akhirnya Garudeya akur menjadi tunggangan Dewa Vishnu demi membebaskan ibunya. Kisah ini hanyalah mitos. Tapi menjadi simbol kepada ketaatan, kepatuhan, perjuangan , kegigihan.
.
Kisah ini lah yang dikatakan menjadi inspirasi kemerdekaan indonesia. Boleh lihat lambang Burung Garuda ( Garuda Pancasila) dan moto seperti Bakti Pertiwi ( berjasa pada ibu ).
.
Ada 3 candi kuno yang terukir simbol garuda yang menggalas beban ini. Seperti satu kaitan..Kisah ini popular ketika era kerajaan singasari dan kartanegara. Ketika Ken Arok pada era kerajaan Singasari.
.
Pastinya kepercayaan seperti ini juga tersebar di sumatera ( ekspedisi pamalayu )
.
Garuda berbeza dengan Karang Goak. Seperti mana simbol karang goak pada hulu Tajong. Tetapi ukiran seekor burung yang ditunggang dewa hampir kelihatan sama. Apapun Garuda tidak terpapar jelas pada mana- mana hulu keris.
.
Jadi?
.
Saya percaya hulu jawa demam yang pernah didakwa seperti sosok tubuh manusia berkepala burung adalah simbol kepada garudeya @ garuda.
.
Tetapi oleh kerana pengaruh kuat Islam, hulu ini tidak lagi jelas wajahnya melainkan disamarkan supaya tidak bercanggah dengan syarak.

Hulu Jawa Demam Palembang Bahan Gigi Ikan Paus Antik


.
✅KESIMPULAN✅
Sebuah hulu yang nampak biasa tetapi membawa simbol besar dan nilai2 moral yang hebat. Itulah hulu Jawa demam.
.
Duduk seperti memeluk lutut kerana beban yang digalas. Lambang perhambaan. Lambang kemerdekaan. Lambang seorang anak yang berjuang demi berbakti kepada ibunya. Lambang kesungguhan dan kegigihan. Lambang ketaatan dan kepatuhan.
.
Ya..kalau benar ia adalah susuk tubuh manusia berkepala burung, maka tepatlah untuk dikatakan hulu ini asalnya Garudeya yang mempunyai banyak simbolik nilai2 moral kepada manusia.
.
Pssst..saya bukan berbicara tentang pengaruh agama..tapi melihat mesej yang dibawa dalam satu ukiran hulu yang sarat dengan mesej2 kebaikan utk kita teladani.
.
Saya juga berpegang pada pandangan ini sehingga didapati ada sumber lain yang menafikannya.

Rencong Aceh

Rencong adalah senjata pusaka yang bernilai digunakan oleh seluruh masyarakat Aceh untuk mempertahankan diri dan dibawa berperang menentang musuh-musuh agama Islam dan orang-orang yang anti Islam. Oleh itu pengertian yang tersirat pada sebilah rencong adalah dijelaskan seperti berikut:

  • Hulu atau pemegang yang mencongek simbolik dari aksara huruf Arab Ba.
  • Tempat genggaman di hulu rencong simbolik dari aksara huruf Arab Sin.
  • Dari bahagian mar hingga ke bahagian pangkal mata rencong terdapat bahagian yang labuh ke bawah menampakkan aksara huruf Arab Mim.
  • Dari pangkal mata hingga hampir ke hujung simbolik aksara huruf Arab Lam.
  • Hujung mata rencong yang melengkong sedikit ke atas adalah simbolik aksara huruf Arab Ha.

Justeru. Jelas bahawa rencong adalah reaksi penzahiran dari kalimah BISMILLAH sebagai kalam pertama memulai sesuatu pekerjaan di kalangan orang-orang Islam.

Rencong ada beberapa jenis (perlu dimaklum bahawa perbezaan jenis rencong hanya pada hulunya sahaja mata dan sarungnya tidak berubah iaitu hulu dan sarungnya dibuat dari kayu atau tanduk) seperti berikut:

Rencong adalah reaksi penzahiran dari kalimah BISMILLAH

1. Rencong Mempucuk, iaitu hulunya disalut dengan emas Aceh (nilai emas 18 karat) atau suasa, dihiasi dengan ukiran yang disenangi oleh pemiliknya yang terdiri kebanyakannya dari golongan elite maupun hartawan.

2. Rencong Meucugek, iaitu bentuk asas hulu rencong yang biasa kita tengok, di mana hulu di bahagian belakangnya terdapat lebihan yang memanjang bulat kira-kira 8-10 cm, menjadikan hulu seperti huruf L atau sesiku. Fungsi utama adalah untuk pertempuran yang dapat menikam lawan secara bertubi-tubi dan dengan mudah pula dicabut kembali, di mana hulu tidak akan terlepas walupun dalam keadaan berlumuran darah kerana cugek adalah alat penahan pergelangan tangan.

3. Rencong Pudoi, iaitu bentuk hulunya yang telah diubah suai menjadi pendek kerana cugeknya telah dipotong agar tidak kelihatan apabila dipakai, kerana semasa pemerintahan Belanda telah dibuat peraturan tidak membenarkan orang Aceh memakai rencong apabila keluar berjalan, oleh itu dibuat rencong pudoi yang bermaksud rencong pendek.

Artikal yang saya paparkan kepada tuan-tuan adalah merujuk dari buku terbitan Muzium Daerah Istimewa Aceh, jika sekiranya tidak bertepatan dengan ilmu tuan-tuan sila abaikan dan jika memberi manfaat kepada tuan-tuan sila kongsikan.

sumber : Ahmad Zamli

Passingkeru Sumange ( tali ikatan semangat )

Passingkeru Sumange ( tali ikatan semangat ) atau Passio Sumange.

Sebelum ini, saya pernah buat 2 video berkenaan cara mengikat keris. Ada 2 cara. 1 cara ikatan lam alif merujuk buku Keris Melayu oleh Tuan Zamli Ali Piah .

Manakala cara kedua ialah cara yang lebih rumit yang mana dirujuk dari video oleh tuan Dang Seri yang menurutnya seperti apa yang di ajar oleh Tukang Sohor di Johor tuan Murtaza Maarof.

Ikatan ini dikenali sebagai PASSINGKERU SUMANGE.( kaedah ikatan ada sedikit berbeza tapi hasilnya hampir serupa ) dalam budaya bugis. Sebenarnya ada pelbagai jenis kaedah untuk mengikat mengikut tujuan dan keadaannya.

Seperti yang diceritakan oleh penulis buku Pamor & Landasan Spiritual Senjata Pusaka Bugis, Passingkeru Sumange adalah TALI IKATAN SEMANGAT yang mengandungi bacaan doa @ mantera keselamatan & perlindungan. Seperti yang saya maklumkan , ada pelbagai kaedah ikatannya.

Hal ini kerana kepercayaan orang bugis berkenaan kawasan pusar @pusat adalah permulaan awal energi kehidupan ( pa’tappi sumange mulajaji ), pemakaian senjata pusaka diletakkan pada kawasan ini bersama passingkeru sumange. Seolah2 sedang melindungi kawasan tersebut. Begitu juga dengan pemakaian keris. Bahkan sampir keris dari kayu kemuning ( dikenali sebagai PALOPO ) itu juga sebenranya bermakna perlindungan atau tangkal bala. Semua perlakuan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadi pelindung di bahagian yang terdedah kepada serangan.

Justeru seiringan dengan status si pemakai, passingkeru sumange bukan sekadar ikatan dengan tali semata-mata. Bahkan ia mengikut status dan taraf si pemakainya. Bagi golongan raja mahupun bangsawan, sudah tentu senjata pusaka mereka ditatah oleh emas dan perak. Jadi sudah tentu jika perasan, tuan2 boleh lihat ada keris2 yang sudah dipasang siap-siap passingkeru sumange ini dgn tatahan perak .

Semoga bermanfaat.

Di Sebalik Kerawang Dengan Angka 3 @ Ron Dha

Teman cukup berminat dengan kerawang angka 3. Cantik, comel dan halus seninya. Dengan kerawang ni, ia menjadi identiti kepada sesuatu bilah keris. Seperti kerawang luar dan kerawang dalam..Cuma teman masih tak faham apa alasan munasabah kenapa lekukan bentuknya begitu? Kenapa berbentuk angka 3?.

Ini sebahagian hasil Google sahaja. Sebab dalam buku-buku yang teman ada, tak jumpa pun penafsiran angka 3 tersebut..

Ron Dha

Teori 1 : Angka 3 tersebut adalah simbol kepada “dha”. Satu simbol kepada no 8 yang digunakan dalam sistem angka Jawa Lama . Sistem pengiraan tahun dalam Candra Sengkala. Di mana pada zaman tersebut, angka2 pengiraan tahun dinyatakan dalam ayat-ayat tertentu. Di sini angka 3 tersebut dikatakan angka 8 yang sinonim dengan GAJAH & NAGA. Bahkan boleh jadi susunan ukiran kerawang tadi adalah interpretasi empu untuk mennujukkan tarikh tertentu ..

Teori 2 : Keris sebagai alat sembahyang bagi anutan hindu lama. Angka 3 tadi adalah simbol kepada OM. Dikatakan setiap ricikan yang ada bilah keris jawa adalah mantera atau doa-doa . Seperti elemen ukiran pada hulu keris Tajong ( ni teman memandai je ..hahaha ) , pada bilah juga terdapat elemen-elemen keagamaan yang dizahirkan melalui ricikan ( ciri2 ) pada bilah. Nak explain detail, tak tahu. Cuma sekali lalu baca sahaja..

OM

KONKLUSI : 😁 setelah mencari ( walaupun sumber Google ), teman dah malas nak gali lebih. Hahaha… Cukup saja memahami bahawa setiap ricikan pada bilah keris terdahulu sebenarnya mempunyai mesej tertentu. Kalau takde makna, takkan jadi secantik yang dapat kita lihat hari ini. Sekian.

BEDAH GAYONG : Keris Melayu

Assalamualaikum w.b.t.

Salam segayong.

Segmen *BEDAH GAYONG* adalah anjuran Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia ( PSGSM ) dengan Kerjasama Institut Tamadun & Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang ( UMP ) secara dalam talian.

Panel-panel dalam *Bedah Gayong* kali ini kami tampilkan seperti berikut :
1. *Saudara Amir Fadhli Bin Razali*, Panglima Singa Malaya Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia ( PSGSM ).
2. *Saudara Syauqi Mukmin Bin Shaimi*, Gurulatih Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia ( PSSGM ), Kelantan.

Dihostkan bersama *Saudara Hasnul Fairuz Bin Hushin Amri*, Timbalan Presiden II, PSGSM dan *Saudara Mohd Zaki Bin Ahmad*, Pegawai Penyelaras ITKAS.

Program tersebut akan berlangsung seperti ketetapan berikut :-

🌐 FB *www.facebook.com/hasnulfairuzhfha*.
👉🏻📆 *03 Julai 2021, Sabtu*
👉🏻🕣 *9.00 malam hingga 10.00 malam*

Tajuk Bedah Gayong kali ini:-
*_Keris Melayu_*

*Pohon disebarkan kepada rakan-rakan segayong dan khalayak umum*.

*Sama-sama kita martabatkan Silat Melayu demi warisan kita*.

Salam segayong,
*Biro Publisiti PSGSM

BEDAH GAYONG : Pendita Agung Silat Melayu Abad 20

Segmen BEDAH GAYONG adalah anjuran Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia ( PSGSM ) dengan Kerjasama PSGSM PERAK & Institut Tamadun & Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) secara dalam talian.

Panel kali ini kita tampilkan YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Bin Wan Husain, Waris Amanah Mahaguru, PSGSM merangkap Pengarah Institut Tamadun & Kajian Strategik, UMP.

Dihostkan oleh Saudara Hasnul Fairuz Bin Hushin Amri, Timbalan Presiden II, PSGSM.

Program tersebut akan berlangsung seperti ketetapan berikut :

🌐 FB Hasnul Fairuz HFHA

👉🏻📆 26 Jun 2021, Sabtu

👉🏻🕣 9.00 malam hingga 10.00 malamTajuk Bedah Gayong kali ini:- Pendita Agung Silat Melayu Abad ke 20

Pohon disebarkan kepada rakan-rakan segayong dan khalayak umum.Sama-sama kita martabatkan Silat Melayu demi warisan kita.Salam segayong.

Hulu Keris Jenis Jawa Demam

Salah satu hulu yang kerapkali ditemui pada bilah mata keris ialah Hulu Jawa Demam.

Gambaran dari bangunan hulu ini seperti orang yang sedang duduk dengan tangannya memeluk tubuh. Seperti orang yang kesejukan ketika demam.

Namun ada falsafah dan simbolik disebalik ciri-ciri pada hulu ini.

Di bahagian kepala hulu ini, kepalanya sedikit menunduk . Ia adalah simbolik kepatuhan . Selain itu, hulu ini yang memeluk tubuh kesejukan juga seolah-olah sedang memeluk sebuah buku /kitab ( simbolik kepada kanun/undang-undang/hukum hakam ).

Dari mana asalnya, tidaklah dapat dipastikan. Namun antara hulu-hulu awal dari Cirebon mempunyai asas bangunan yang hampir sama. Oleh itu asal usul namanya tidak dapat dipastikan secara sahih.

Perbezaan ketara dengan hulu Anak Ayam Sejuk ialah pada kepala, paruh dan balung..Ada 1 bahagian yang menjadi kelebihan pada hulu ini tetapi sengaja tidak dinyatakan di dalam gambar tetapi ada disebut oleh penulis di dalam buku “Keris Melayu” oleh Ahmad Zamli Ali Piah

Hulu Keris – Jawa Demam

hulu jawa demam

Hulu ini mempunyai pelbagai cerita mengenainya.

Ada satu kisah yang agak popular. Hulu ini dinamakan sebagai satu psikologi perang dengan pihak kerajaan Majapahit suatu masa dulu. Disengajakan nama Jawa Demam seperti mengejek pihak lawan . Kebenarannya bukanlah suatu yang dapat dibuktikan.

Ada yang mengatakan hulu ini adalah evolusi dari dewa yang sedang duduk kesejukan . Demam. Namun telah berevolusi lalu tiada bentuk asal seperti dewa yang disembah.

Ada juga yang megatakan hulu Jawa Demam ini adalah gambaran pahlawan melayu yang bertanjak.

Hulu Jawa Demam ini secara umumnya adalah gambaran seperti orang yang sedang duduk dengan tangannya memeluk tubuh. Seperti orang yang kesejukan ketika demam..

Dalam keadaan tunduk ( simbolik kepatuhan ) , hulu ini juga seolah-olah sedang memeluk sebuah buku /kitab ( simbolik kepada kanun/undang-undang/hukum hakam )..

Asal usul namanya tidak dapat dipastikan secara sahih. Perbezaan ketara dengan hulu anak ayam sejuk ialah pada kepala, paruh dan balung..Ada 1 bahagian yang menjadi kelebihan pada hulu ini.

Tidak dinyatakan di dalam gambar dibawah tetapi ada disebut oleh penulis di dalam bukunya..

sumber info : “Keris Melayu : Ahmad Zamli Ali Piah.

UPDATE : Baca sini tentang pandangan terkini saya berkenaan asal usul hulu Jawa Demam

Ps : sedikit makluman tambahan. Hulu anak ayam sejuk dan jawa demam ini ada sedikit perselisihan dan pandangannya. Sebagai marhain biasa, marilah kita meraikan sahaja. Supaya sedikit perbezaan tidaklah seharusnya melunturkan kecintaan kita kepada warisan bangsa

SEJURUS 1 2021 Gayong Serantau Perak

Sesi Jurulatih Ulangkaji Silibus, Perak pertama dalam tahun 2021 telah berlansung dengan jayanya pada 2 -4 April 2021 bertempat di Homestay Dpallet Pengkalan Ipoh.

Seramai hampir 15 orang jurulatih telah menghadiri sesi ini yang dikelolakan oleh Majlis Gurulatih Negeri. Selain itu, turut serta pihak pentadbiran negeri dalam melicinkan urusan perjalanan program.

Dalam sesi yang berlansung selama 3 hari 2 malam ini, sejumlah pelajaran dari silibus bengkung putih hingga merah diperkemaskan.

Harapan pihak MGN dan pentadbiran negeri adalah untuk memperkemaskan lagi kemahiran setiap jurulatih termasuklah memberi pendedahan awal . Selain itu sesi menyeragamkan pelbagai buah tangkapan, kuncian dan pentas hidup dilaksanakan.

Di akhir kursus ini, barisan jurulatih mengambil peluang mengadakan lawatan muhibbah ke rumah Ayahanda Cikgu Amin Hamzah.